Saturday, May 14, 2011

Kawal Kolesterol Untuk Jantung Sihat


Utusan Malaysia



Isnin, 04/05/2009



Kawal kolestrol untuk jantung sihat
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
KOLESTROL ialah bahan lembut seperti lilin yang terdapat dalam aliran darah dan sel badan kita. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon yang dibawa melalui lipoprotein. Lipoprotein Densiti Tinggi (HDL) adalah kolestrol baik yang mampu mengelakkan enapan kolestrol. Selain itu, Lipoprotein Densiti Rendah (LDL) merupakan kolestrol tidak baik yang boleh berkumpul pada dinding arteri dan membentuk plak yang menyumbat arteri.
Ini akan menyempitkan aliran darah dan oksigen yang membuatkan seseorang diserang sakit jantung atau strok. Justeru itu, amat penting bagi anda mengawas tahap kolestrol dan mengawalnya demi kesihatan jantung. Salah satu caranya mengawal kolestrol dengan mengambil makanan serta minuman sihat seperti susu yang mengandungi sterol tumbuhan. Namun, kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan pengambilan susu sebagai diet tambahan masih rendah berbanding negara-negara lain.
Hakikatnya, susu mempunyai kalsium tinggi untuk membantu tulang yang kuat. Menurut Penjenamaan Kanan, Unit Perniagaan Susu Nestle Products Sdn. Bhd, Lam Pui Yuee, negara-negara Barat kerana masyarakat di sana menjadikan amalan meminum susu sebagai makanan utama dalam kehidupan harian mereka. "Meminum susu merupakan cara terbaik dan paling mudah untuk mendapatkan bekalan kalsium yang mencukupi.
Amalan ini memperlahankan kehilangan kalsium dalam tulang sekali gus mengelak daripada masalah osteoporosis," katanya yang ditemui di pejabat Nestle yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Perlu diingatkan bahawa semakin meningkat usia kita, tulang akan kehilangan lebih banyak kalsium dan ketika itu akan berlaku pelbagai penyakit kerana ketahanan badan turut berkurangan.
Tambah Pui Yuee, dua gelas sehari membekalkan 100 peratus saranan pengambilan kalsium setiap hari untuk orang dewasa yang berumur 19 hingga 50 tahun.
"Misalnya susu Nesvita Omega Plus Acticol dihasilkan melalui serat tumbuhan yang boleh didapati secara semulajadi di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, legum, kacang dan bijrin. Bahan-bahan ini menghalang penyerapan kolestrol dari usus kecil ke dalam aliran darah. Kajian membuktikan, dua gelas susu ini membekalkan 1.2 gram sterol tumbuhan dan boleh mengurangkan kolestrol LDL sebanyak tujuh peratus dalam 30 hari," ujarnya.
Sementara itu, lebih 500 orang membanjiri kawasan Dataran Pahlawan pada 25 April lalu bagi memeriahkan kempen Walk A Mile anjuran bersama Yayasan Jantung Negara (YJN), Nestle Omega Plus dan akhbar Mingguan Malaysia. Kempen itu turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Program berjalan kaki itu bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir pukul 11 pagi. Ia menarik perhatian warga bandar raya itu termasuk pelajar sekolah serta warga emas yang prihatin dengan kesihatan jantung. Program yang masuk tahun ke-9 itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din yang bersama-sama Pengarah YJN, Datuk Gurbakhash Singh; Pengurus Acara Nestle Products Sdn. Bhd., Yang Kalsom Omar dan Ooi Lee Beng. Bagi memeriahkan lagi program berkenaan, pelbagai acara sampingan diadakan seperti pertandingan mewarna kategori kanak-kanak serta pameran dan pemeriksaan kesihatan selain cabutan bertuah.
Peserta juga dihiburkan dengan persembahan artis, Fazli Zainal. Kedah merupakan negeri pertama Walk A Mile diadakan pada tahun ini dan ia diikuti Melaka (24 Mei), Kuantan (21 Jun), Pulau Pinang (26 Julai) dan lokasi terakhir Kuala Lumpur (18 Oktober).

Pelbagai khasiat bawang putih


  Utusan Malaysia
Selasa, 26/02/2008

Pelbagai khasiat bawang putih 

BAWANG putih mempunyai nilai yang amat berguna pada kesihatan. Ciri-ciri penyembuhan dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan kepada tubuh badan di samping membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi (hypertension).
Minyak asas serta komponen lain yang dimilikinya mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.
Khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan boleh didapati dengan mudah kerana bawang putih sememangnya digunakan sebagai penyedap masakan. Bawang putih mentah dihiris untuk masakan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran atau salad. Selain itu ia juga dijeruk di dalam minyak untuk menghasilkan rasanya yang lazat.
Bawang putih juga boleh dijadikan ubat bagi penyakit sakit saraf, sakit sendi, kutil dan penyakit kulit lain.
Bawang putih segar yang dicampurkan dengan madu dikatakan dapat membantu menyembuhkan selesema, suara yang serak dan radang pada kerongkong.
Cara memakannya ialah dengan menekan atau gunakan mesin untuk menghancurkannya, kemudian campurkan dengan satu sudu madu. Kacau dan biarkan ia ditempat yang sejuk selama satu jam untuk sebatikan madu dan minyak bawang tersebut. Jika ada tanda-tanda untuk dijangkiti penyakit selsema, ambil satu atau dua sudu untuk diminum. Ulangi setiap jam berikutnya.
Ia juga boleh digunakan apabila selesema teruk dan amat berkesan untuk melegakan sesak nafas dan batuk.
Bawang putih juga dikatakan mampu memberi kesan terapeutik. Sulfur yang terdapat pada minyak bawang putih boleh membantu menjadi pembasmi atau pembunuh kuman dalam badan.
Jika bawang putih dijadikan makanan, ia akan diserap ke dalam aliran darah kemudiannya tersebar melalui pelbagai organ seperti bahagian kulit, usus, paru-paru dan sistem perkumuhan air kencing
Semua organ-organ tersebut mendapat manfaat penyembuhan daripada khasiat bawang putih.
Komponen-komponen
Bawang putih diperkaya dengan minyak asas dan agen utamanya yang aktif adalah alisin. Sebatian ini bertanggungjawab menghasilkan bau bawang putih dan berperanan sebagai agen membantu penyembuh penyakit. Sementara itu, bawang putih juga mengandungi kalsium, selenium, kalium dan zink.
Penggunaan bawang putih juga dapat membantu menurunkan tahap kolestrol dalam darah.
Bawang putih juga dikatakan mampu membantu untuk mencegah pertambahan plak di dalam arteri koronari.
Selain itu ia juga membantu mengelakkan pembentukan darah beku di dalam saluran darah. Kedua-duanya dapat melindungi tubuh daripada serangan sakit jantung dan strok.
Tip tambahan
Apabila anda memakan banyak bawang putih ia akan memberikan anda bau badan dan nafas yang tidak menyenangkan. Ini disebabkan oleh kandungan minyak yang terdapat padanya telah dikumuh melalui sistem pernafasan dan kulit. Jadi, bagi mengurangkan kesan yang tidak enak ini, kunyahlah daun parsli, taim atau pudina dengan segera selepas memakan bawang putih.
Untuk gangguan usus
Kualiti yang terdapat pada bawang putih juga digunakan untuk membantu merawat ulser. Untuk lebih berkesan makanlah tujuh hingga sembilan ulas bawang putih sepanjang hari mengikut cita rasa masing-masing.
Sama ada memakannya dengan susu atau ditaburkan di atas roti. Namun bagi ibu yang mengandung atau masih menyusukan anak tidak digalakkan untuk mengambilnya.
Untuk mengelakkan jangkitan
Sangat bagus untuk penyakit kaki makan air, ketuat, jangkitan-jangkitan kulit dan jerawat. Letakkan bawang putih segar yang telah dilecek ke dalam sekeping kain kasa dan sapukan pada kawasan yang terlibat.
Tip untuk dapur anda
lApabila membeli bawang putih pilihlah yang masih kukuh. Seharusnya kulit luarnya tegang, tidak pecah dan berwarna putih atau ungu.
lElakkan membeli bawang putih yang lembut dan lembap.

Sunday, May 8, 2011

Makan PISANG Banyak Banyak

Berita Harian

Jumaat, 01/06/2007

Pisang penawar penyakit

Buah paling digemari penduduk dunia mempunyai 1,001 khasiat, kaya pelbagai vitamin


PISANG pada mulanya adalah sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara, kini berjaya dikomersialkan. Buah-buahan berkenaan bukan saja mengenyangkan malah boleh mengatasi masalah sembelit. Selain mudah didapati dan murah di pasaran, pisang juga antara buah-buahan yang berpotensi membekalkan serat, vitamin A serta menjadi makanan ruji masyarakat Afrika.

Pelbagai jenis masakan boleh dihidangkan melalui pisang dengan cara merebus, menggoreng atau dibuat pengat, lepat, koleh serta jemput-jemput. Bunyinya sangat sedap dan sudah pasti enak!. Tetapi awas! Sungguhpun pisang sedap dimakan dan baik untuk kesihatan serta membantu merawat penyakit tertentu, ia bagaimanapun tidak elok dimakan oleh pesakit kencing manis. Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi.

Tahukah anda, ada lebih 20 jenis pisang di dunia. Tetapi pisang nipah, nangka, abu, mas, tanduk raja, embun biasa didengari. Namun pisang talang, kapas, awak, susu, berangan, kari, embun, kelat keling, rastali, talang, khaki, kapas, lidi, lemak manis kurang biasa kita dengar, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.

Ketua Diatetik dan Pemakanan Khasiat, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad, berkata seperti yang kita tahu, semua pisang boleh dimakan, bagaimanapun ada berapa jenis pisang yang tidak boleh dimakan iaitu pisang pisang hutan kerana banyak biji atau pisang muda.

"Ada pisang yang dimakan mentah dan ada juga tidak boleh dimakan mentah antaranya pisang tanduk, nangka, abu, lidi dan kapas," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemakanan pisang memberikan banyak khasiat kepada tubuh badan kerana secara keseluruhannya ia mengandungi tenaga, vitamin A, serat, vitamin C dan Kalsium.

"Sebagai contoh, 2 biji pisang emas mengandungi 100 kalori, 73gram (g) air, 1.4g protein, 23 g karbohidrat, 1.7 g serat, 380 mikro gram (mg) karoten (pre vitamin A), 63 RE vitamin A, 8.3 mg vitamin C dan 342 mg kalium," katanya.

Khasiat pisang sudah tentu boleh membekalkan tenaga. Pisang mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semula jadi iaitu sukrosa , fruktosa dan glukosa. Gula semula jadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pula pisang mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat. Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit. Seribu satu khasiat pisang kurniaan Allah kepada manusia. Tidak hairanlah pisang amat popular di kalangan atlet kerana ia membekalkan tenaga yang cukup ketika mereka beraksi dalam apa saja pertandingan sukan.

Pisang adalah buah yang paling digemari penduduk seluruh dunia. Ia juga mampu menawarkan penyakit dan boleh membantu dalam kesihatan manusia.

FAKTA

Daun pisang

· Digunakan sebagai alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum apabila terkena makanan yang panas.

· Digunakan sebagai pelindung hujan

· Pembalut kuih atau masakan seperti ikan bakar atau kuih lepat.

· Batang pisang

· Digunakan untuk membuat rakit.

· Mempunyai gentian yang banyak dan boleh diproses secara perdagangan untuk membuat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.

Buah pisang

· Boleh dimakan masak atau diambil semasa muda untuk dimasak sebagai lauk, digoreng, dibuat sira, dibuat pengat, dan dijadikan kerepek.

Jantung pisang

· Dibuat sebagai ulam selepas dicelur.

FAKTA
Khasiat pisang dari sudut kesihatan

· Darah tinggi dan strok - pisang membantu menurunkan tekanan darah tinggi kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.

· Kolestrol - pisang rendah dari segi kalori lemak dan sodium yang membantu merendah kolestrol.

· Cirit-birit - potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.

· Anaemia - anaemia ialah penyakit kurang darah. Oleh kerana pisang kaya dengan zat besi, ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di dalam darah.

· Kemurungan - orang yang sedang murung lebih cepat ceria apabila makan pisang. Ini kerana kandungan sejenis protein membantu kita menjadi tenang.

· Pening-pening - cara paling cepat merawat rasa pening-pening ialah dengan meminum minuman susu pisang kocak (banana milkshake) yang dicampur madu. Minuman ini bukan sahaja merawat malah sedap.

INFO

· Pisang yang paling sesuai dimakan untuk menjaga kesihatan ialah pisang yang masih ada warna hijau di hujungnya.

· Disebabkan permintaan dunia terhadap pisang terlalu tinggi, banyak hutan rimba telah diteroka dan dibersihkan untuk dibuka ladang penanaman pisang.

· Jika anda digigit nyamuk, cubalah gosokkan bahagian dalam kulit pisang pada tempat yang digigit.

· Pisang boleh diberi pada bayi seawal usia tiga bulan sebagai makanan pejal kerana mudah dihadam.

100 gram pisang menyediakan

· 1.2 gm protein

· 0.3 gm lemak

· 17 mg kalsium

· 78 mg karotin

· 88 mg kalium

· 27.2 gm karbohidrat

· 0.4 gm fiber

· 116 kcal tenaga.


Makan Telur Kuantiti Banyak SELAMAT

Utusan Malaysia

Rabu, 18/04/2007

Makan telur tidak tambah kolestrol - Pakar

PULAU PINANG 17 April: Anda khuatir telur boleh meningkatkan paras kolestrol dalam badan dan menjejaskan kesihatan?

Sekiranya anda mempunyai tanggapan sedemikian, ia patut dilontarkan jauh setelah kajian terbaru oleh Persatuan Jantung Amerika Syarikat mendapati pengambilan sekurang-kurangnya sebiji telur setiap minggu, begitu berkhasiat untuk tubuh badan serta tidak menambah kolestrol.

Malahan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Tropical Botanics Sdn.Bhd (Tropical Botanics) Datuk Dr. Rajen M, mengambil sebiji telur setiap hari untuk dijadikan menu pun tidak menimbulkan masalah kepada kesihatan.

Tropical Botanics ialah sebuah syarikat tempatan yang menjalankan penyelidikan berkaitan barangan kesihatan berasaskan tumbuhan tropika dan herba.

Selain kaya dengan nutrien seperti paras folat dan vitamin D yang tinggi, katanya, kuning telur juga mengandungi asid lemak yang dapat membantu tumbesaran dan perkembangan otak bayi.

”Mitos bahawa telur kaya dengan kolestrol dan punca pelbagai penyakit harus diketepikan. Ia tidak benar.”

”Kajian terbaru yang dibuat menunjukkan kolestrol yang terdapat di dalam telur tidak menyumbangkan kepada penyakit tersebut sebaliknya ia berpunca daripada makanan yang nampak ’baik’ seperti nasi, kanji, dan capati kerana mengandungi banyak karbohidrat yang akan bertukar menjadi gula, inilah punca sebenar penyakit,” katanya.